EBOOK PANDUAN TINGGAL BERSAMA KELUARGA ANGKAT DI JEPUN

EBook "Panduan Tinggal Bersama Keluarga Angkat Di Jepun" (Versi Baru dan Kemaskini) akan dilancarkan mulai 1 November, 2016 dengan harga promosi RM30.00 sahaja. Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan eBook dengan harga promosi, bolehlah menghubungi penulis di alamat email supce2001@yahoo.com atau sms ke 0164161121.

Tuesday, May 25, 2010

PERIHAL KEDUDUKAN ISLAM DI JEPUN


(Gambar Sebelah : MASJID KOBE)

Ini adalah petikan Artikel Utusan Online bertarikh 25 Mei, 2008 yang ditulis oleh Tan Sri Mazlan Nordin, ISIS Malaysia. Selamat Membaca.

SENASKAH Quran yang mengandungi tafsir dalam bahasa Jepun disampaikan kepada tukang catat ini beberapa waktu lalu. Tebalnya 808 muka, bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nass.

Ia seperti tafsir bahasa Inggeris terbitan kompleks percetakan Al-Malik Fahd di Arab Saudi dan tafsir bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali serta tafsiran bahasa Melayu melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Jelas bahawa para pemimpin golongan minoriti Islam di negara Jepun tidak ketinggalan dalam segala usaha untuk menegakkan syiar Islam. Hal ini dijelaskan lagi dalam rencana-rencana khas terbitan majalah Amerika, Asia Policy, isu bulan Januari 2008.

Makalah pertama berjudul Islam in Japan: A cause for concern? Yang kedua bertajuk Islam in the Japanese Context dan yang ketiga bertajuk Muslims in Contemporary Japan.

Antara penulis ialah Michael Penn, pengarah eksekutif Institut Shingetsu Pengkajian Hubungan Jepun-Islam. Esei beliau mengkaji sikap warga Jepun terhadap orang-orang Islam yang bermastautin di negeri Jepun dan pelbagai kesannya kepada dasar Amerika serta lain-lain hal. Beliau menyatakan antara lain, beberapa pendapatnya:

* Orang Islam di Jepun menghadapi banyak cabaran dalam masyarakat Jepun akibat imej negatif mengenai Islam yang timbul, terutama laporan-laporan media massa.

* Walaupun menghadapi cabaran demi cabaran namun, masyarakat Islam di Jepun tidak begitu kecewa terhadap warga Jepun.

* Kerajaan Jepun dan masyarakatnya tidak mungkin mengambil sebarang tindakan yang dramatik terhadap golongan minoriti Islam. Ini kerana warga Islam di Jepun tidak begitu ramai dan tidak punyai pengaruh politik.

Menurut Penn selanjutnya seramai kira-kira 14 juta orang Jepun beragama Kristian, iaitu sejak tahun 1549. Anggaran bilangan orang Jepun sendiri yang beragama Islam kira-kira 6,000 orang.

Menurut Penn lagi, di kalangan para pelajar Jepun peringkat sekolah menengah, seramai 75 peratus berpendapat Islam agama yang agresif, 70 peratus berpendapat Islam kurang memberi kebebasan dan 53 peratus mengaitkan Islam dengan negara-negara kurang maju.

Lalu disebut kenyataan Takuo Amir Arai, wakil Persatuan Islam Jepun: “Dalam dunia Islam dewasa ini wujud keadaan seperti peperangan, keganasan, kemiskinan dan kacau-bilau. Inilah yang ditayang oleh televisyen dan oleh itu ramai orang Jepun bersikap negatif terhadap Islam.

Antara cabaran-cabaran utama orang Islam di Jepun ialah mendapatkan makanan halal. Suatu lagi cabaran ialah betapa mahu menunaikan sembahyang lima kali sehari. Satu contoh ialah laporan dalam akhbar Daily Yomiuri mengenai seorang wanita Indonesia berumur 20 tahun yang bekerja di sebuah kilang jahitan dipaksa menandatangani surat berjanji tidak akan bersolat di kilang dan berpuasa pada bulan Ramadan. Namun, orang-orang Islam tidak menyalahkan warga Jepun kerana pelbagai prasangka dan dasar. Ini kerana mereka sebenarnya jahil mengenai Islam atau adat-adat warga asing.

Suatu lagi makalah menyebut mengenai bilangan ramai orang Islam di Jepun ialah lelaki bujang berumur 20 hingga 40 tahun, terutama dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Iran. Mereka datang untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja.

Makalah ketiga ditulis oleh Profesor wanita Keiko Sakurai dari Universiti Wasede. Menurutnya bilangan orang Jepun yang memeluk agama Islam telah meningkat secara beransur-ansur walaupun tiada statistik jelas diperoleh.

Mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, lelaki yang mengenali budaya Islam setelah mengkaji agama Islam atau dunia Arab, iaitu semasa merantau, belajar atau bekerja di negaranegara Islam.

Kedua, wanita-wanita Jepun yang berkahwin dengan orang Islam dari negara-negara lain. Kumpulan ini berupa majoriti wanita Islam di negeri Jepun. Profesor Sakurai memberi dua pendapat:

l Orang-orang Islam asing kira-kira 80 hingga 90 peratus penduduk Islam di Jepun. Mereka datang pada pertengahan 1980-an dan awal 1990-an kerana keperluan-keperluan ekonomi. Ramai datang melalui visa waktu singkat dan bekerja secara haram serta mengahwini wanita tempatan.

l Bilangan orang Islam bukan Jepun kira-kira 60,000 hingga 70,000, majoritinya lelaki. Paling ramai ialah orang Indonesia dan diikuti oleh orang Pakistan, Bangladesh dan Iran.

Pada tahun 2004 terdapat 23,890 orang Indonesia, Pakistan (8,610), Bangladesh (10,724) dan Iran (5,403). Majoriti warga Malaysia di Jepun ialah etnik Cina dan bukan Islam.

Profesor Sakurai juga membuat laporan mengenai peranan pelbagai masjid di Jepun, iaitu bukan untuk menunaikan solat sahaja tetapi juga menjadi tempat berkumpul dan bertukar maklumat. Beberapa masjid juga menerima derma dari pertubuhan-pertubuhan dan orang-

orang perseorangan.

Dalam bulan Ramadan pula ramai keluarga Islam datang untuk berbuka puasa, mengadakan kenduri dan selanjutnya menyambut Hari Raya. Oleh kerana harga tanah dan binaan begitu mahal, bangunan-bangunan atau kilang-kilang serta rumah-rumah diubah suai menjadi masjid.

Menjelang tahun 2003 sebanyak 38 masjid telah didirikan dipelbagai wilayah. Masjid baru pertama dibina oleh para pendatang Islam pada tahun 1992. Sebuah lagi diadakan di kawasan kilang manakala pendatang Islam mengambil sebuah bangunan dua tingkat menjadi masjid.

Pada tahun 2000, menurut laporan Profesor Sakurai lagi, Masjid Tokyo dibina semula atas inisiatif jabatan agama kerajaan Turki. Lain-lain masjid kemudian menjadi masjid Jamek untuk sembahyang Jumaat dan lain-lain majlis agama.

Beliau membuat kesimpulan bahawa majoriti orang Islam di negeri Jepun ialah orang asing di Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Iran, iaitu yang dulu datang mencari kerja. Ramai antara mereka kemudian mengahwini wanita-wanita tempatan.

Walhal dari warga Jepun yang Islam sendirilah terbitnya Quran dengan tafsir dalam bahasa Jepun (808 muka). Peranan mereka dalam pelbagai usaha untuk meningkatkan syiar Islam tidak begitu mendapat perhatian sewajarnya dari majalah Amerika. Kenapa kenyataan Takuo Amir Arai dari Persatuan Islam Jepun hanya sebaris saja?

Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

No comments:

Post a Comment