Saya tidak pernah melupakan pengalaman kali pertama tinggal bersama keluarga angkat Jepun di Sebuah Kepulauan Kyushu Selatan Jepun iaitu di Nishisonogi Gun, Nagasaki pada 20 Oktober, 1991. Program Homestay ini ditaja oleh JICA (Japan International Cooperation Agency) dengan kerjasama JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kerajaan Malaysia iaitu sebuah program yang terhasil dari Dasar Pandang Ke Timur.
Walaupun saya dibekalkan dengan sedikit ilmu mengenai Bahasa Jepun dan persediaan Homestay selama 4 hari Wisma Belia, Kuala Lumpur, ternyata ianya SANGAT BERGUNA bagi menghadapi saat-saat gementar untuk tinggal seorang diri bersama keluarga Jepun yang memangnya terlalu asing bagi saya.
Sebelum melangkah masuk ke dalam keluarga baru ini, saya telah meneliti semula Panduan Homestay yang dibekalkan oleh pihak JPA dan berdoa agar saya tidak ditimpa kesusahan sepanjang bersama mereka kelak.
Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Bahkan pada hari perpisahan, apabila Lagu “Kyo no hi wa, sayonara” dimainkan maka berlinanglah air mata diantara keluarga baru dengan anak angkatnya itu. Kesedihan yang tidak dapat digambarkan dan yang tidak dapat diluahkan.
Saya ingin berkongsi pengalaman dengan salah seorang pelajar saya yang pernah mengikuti Program Homestay di Oyama City pada tahun 1999 iaitu Cik Wan Shahira Ellani, katanya “Walaupun kamus percakapan saya hilang, namun ia tidak menghalang saya bergaul dengan keluarga angkat dengan penuh mesra. Kami bercakap tentang keluarga dan adat masing-masing. Di hari perpisahan, saya merasa amat terharu. Saya menangis kesedihan dalam keadaan cuaca yang terlalu sejuk”.
Kenangan Homestay tidak habis begitu saja. Kini telah ada kesinambungan hasil kerjasama pihak kerajaan dan NGO merealisasikan lagi Dasar Pandang Ke Timur. Saya telah lama bersedia untuk menaburkan bakti kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin mencari ilmu dan menimba pengalaman di Negara Matahari Terbit ini.
Tuesday, May 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment